~Pembaca Setia~

*~Dari Lubuk Hati Penulis~*

Assalammualaikum semua!

blog ini AK hasilkan untuk mencoret karya-karya yang lahir dari hati AK khas untuk tatapan umum. AK masih bertatih dalam dunia penulisan ini, segala kelemahan AK harap dimaafkan. harap segala karya ini tidak akan ditiru dan diubah hakcipta kerana tolonglah hargai penat lelah dan jerih payah AK dalam menghasilkan karya-karya ini.

Pembaca semua sangat-sangat dialukan untuk memberi sebarang komen dan pandangan yang menbina. Diharap dengan adanya blog ini dapatlah kita berkongsi pendapat seterusnya membantu AK memperbaiki diri dalam arena penulisan ini...dan tolong doakan semoga impian AK untuk membukukan karya dan novel AK akan terlaksana... InsyaAllah... amin...
Terima kasih...

Penuh rasa Cinta,

~Aliesha Kirana~

Friday, April 21, 2017

Novel Pak Cik Kerek Semanis Pavlova Bab 19


AJDA menyusun mini pavlova ke dalam peti makanan butik Talqisya itu dengan teratur walau fikirannya melayang jauh entah ke mana. Sejak Qisya meluahkan permintaannya untuk menjodohkan Ajda dengan pak sunya, hati Ajda jadi tidak tenteram lagi. Dia jadi serba salah hendak menyusun ayat yang sebaiknya untuk menolak permintaan sahabatnya itu.
            “Haih!” Ajda  melepaskan keluhan yang terasa berat menghempap dadanya, cuba membuang rasa serabut yang membelenggu jiwanya saat itu.
            “Depan makanan pun mengeluh?” suara garau yang kedengaran itu membuatkan Ajda tersentak dan pantas mahu bangun membuatkan dia terhantuk peti makanan itu, menghasilkan bunyi yang agak kuat. Banyak mata yang memerhati Ajda sebaik bunyi itu kedengaran namun mereka kembali fokus kepada produk-produk yang terpamer di butik tersebut, kerana itu lebih menarik minat mereka.
            “Aduh! Sakitnya!” Ajda menggosok kepalanya yang terasa pedih kesan hantukan tadi.
            “Awak ni memang selalu cuai kan?”
            Ajda mengangkat wajahnya sambil memegang kepalanya yang masih sakit, mahu melihat gerangan insan yang menegurnya tadi walaupun dia sudah dapat mengagak. Siapa lagi yang suka muncul tiba-tiba di hadapannya begitu kalau bukan pemilik Talqisya itu sendiri.
            “Maaf, Encik Megat.”
            “Rosak peti tu, awak ganti.” Lelaki itu dingin seperti biasa, menjeling ke arah Ajda. Ajda mengetap bibirnya, geram tetapi dia tahankan saja perasaannya itu.
            “Maaf.” Sekali lagi perkataan itu terbit dari mulutnya sambil dia cuba mengukir senyum walau terasa payah.
            “Kepala tu dah okay ke? Kalau tak okay, baik pergi check cepat-cepat dekat hospital. Manalah tahu ada putus fius dekat mana-mana ke?”
            “Dah. Okay dah. Encik Megat jangan risau, saya waras lagi.” Ajda laju menjawab, tidak mahu terus diperli lelaki itu. Sudahlah sakit di kepalanya masih belum hilang, kena perli baik punya pulak, memang bertambahlah sakitnya.
            “Hmmm...” itu saja balasan daripada Megat Talhah sebelum dia mengatur langkah mahu meninggalkan Ajda yang masih tegak di hadapan peti makanan butik Talqisya itu. Tadi sengaja dia menjengah ke situ apabila melihat Ajda begitu khusyuk membuat kerjanya tetapi fikirannya seolah menerawang ke tempat lain.
            “Eh Encik Megat!” Ajda sempat memanggil membuatkan lelaki itu kembali menoleh ke arah Ajda.
            “Apa?”
            “Pasal hal tempoh hari pun, saya nak minta maaf. Saya buatkan kekasih Encik Megat salah faham.”
            Megat Talhah tergamam, teringatkan peristiwa yang menyimpan kepahitan di dalam jiwanya hingga kini.
“Tak apa. Bukan salah awak pun.” Datar Encik Megat membalas. Tangannya sudah disilang di belakang tubuhnya.
“Maaf ya Encik Megat. Saya harap hubungan Encik Megat dengan kekasih Encik Megat tak terjejas.”
Megat Talhah mengangkat tangannya, tanda meminta Ajda berhenti dari bersuara.
“Sudah. Tak perlu cakap apa-apa, tambah-tambah pasal hal peribadi saya. Perkara dah lepas dah pun, saya tak nak awak sebut lagi pasal hal tu.”
“Baik. Maaf, Encik Megat.” Ajda dipagut rasa bersalah.
Mata Megat Talhah tajam merenung wajah Ajda sebelum dia bersuara.
“Saya dah muaklah dengar maaf awak tu. Sambunglah kerja awak balik.” Megat Talhah mendengus sebelum berlalu tanpa sempat Ajda berkata apa lagi.
Ajda menghela nafasnya untuk kesekian kalinya, cuba menanam rasa sabar dalam dirinya mendengarkan kata-kata Megat Talhah yang jelas menjengkelkan. Orang minta maaf pun dia nak marah. Hesy!
Masalah di dalam kepalanya belum selesai, sekarang muncul pula manusia yang bikin kepalanya makin berserabut. Kalau melayan karenah lelaki yang kerek itu memang boleh bikin Ajda migrain!
Megat Talhah memerhati gerak langkah Ajda yang sedang menuju ke kaunter dari sebalik bidai yang menutupi tingkap kaca biliknya sebaik dia masuk semula ke dalam biliknya itu. Satu keluhan berat keluar dari bibirnya.
            Entah kenapa, dia selalu terasa panas bila berada dekat dengan gadis itu. Asyik rasa nak marah saja, mungkin sebab perangai gadis itu yang suka bercakap main serbu tak pandang kiri kanan. Sama ada Ajda tu lurus sangat atau dia memang tak reti nak jaga hati orang. Tapi kenapa aku nak jugak tegur dia tadi? Hesy!
            Megat Talhah mendengus untuk kesekian kalinya.

AJDA merenung Imani yang sedang asyik bermain dengan mainannya di dalam baby walker itu. Satu keluhan berat dia lemparkan sambil dia menongkat dagu, kembali memikirkan masalah yang belum selesai.
            “Apa yang patut mak ngah buat, Imani?” Ajda menyoal Imani seolah anak kecil itu faham dengan soalannya.
            “Mak ngah nak menolak tapi kesian dekat Aunty Qisya, mak ngah nak terima pulak mak ngah tak kenal pun pak su Aunty Qisya tu. Boleh ke mak ngah hidup bahagia dengan orang yang mak ngah tak pernah jumpa dan cinta? Aduh!”
            Imani sekadar ketawa memandang Qisya sebelum kembali bermain dengan mainannya.
            “Imani rasa macam mana?” Berkerut Ajda menyoal seolah Imani bisa memberikan jawapannya.
            “Ye memang mak ngah rasa nak tolak tapi macam mana nak cakap dengan Aunty Qisya supaya Aunty Qisya tak kecik hati? Kesian Aunty Qisya tau, Imani. Dia dah tak boleh jalan, tak ada siapa dekat sisi dia kecuali pak su dia. Kalau mak ngah kahwin dengan pak su dia, boleh jugak mak ngah jaga dia kan?”
            Imani masih buat tidak peduli, langsung tidak mengerti kata-kata mak ngahnya itu.
            “Terima pak su Qisya? Mampu ke mak ngah?” Ajda menghela nafasnya.
            “Ya memanglah boleh je cuba tapi kalau dah tahap kahwin tu memang kena jayakan jugaklah. Kena terima saja macam mana pun lelaki tu dan sayang dia. Susah kan? Walaupun mak ngah tak pernah ada pengalaman bercinta tapi ada je yang nak dekat mak ngah cuma hati mak ngah tak terbuka. Hati mak ngah Imani ni kebal macam peti besi jugak tau, susah orang nak tembus.” Ajda tersengih, seolah bangga pula bercerita begitu.
            “Doktor tu? Yang itu berkenanlah jugak tapi tak adalah tahap jatuh cinta lagi. Tapi mak ngah sedar diri, yang itu perfect sangat, tak layak untuk mak ngah ni. Lagipun kacak bergaya macam tu mesti ramai peminat kan? Makan hati je nanti, kalau mak ngah kahwin dengan dia. Cemburu tak sudah.” Ajda ketawa sendiri.
            “Haih! Apa mak ngah nak buat ni, Imani?” Ajda memuncungkan mulutnya sambil menggoyang-goyangkan tangan Imani membuatkan anak kecil itu ketawa mengekek.
            “Kamu tu dah kenapa, Ajda? Macam serius saja bercakap dengan Imani.” Najah yang baru selesai mandi setelah pulang dari tempat kerja dan mengambil Imani dari rumah pengasuh segera menyoal Ajda yang nampak macam tak keruan.
            Ajda yang tersentak segera melemparkan senyuman. Malu pulak apabila kantoi bercakap dengan anak kecil yang masih belum tahu apa-apa itu.
            “Eh tak ada apalah, kak. Saja sembang dengan Imani ni.” Ajda mencubit pipi Imani yang gebu itu sebelum pipi itu menjadi mangsa ciumannya.
            “Kak ingat kamu dah tak betul. Berkerut-kerut sembang dengan Imani macam ada perkara serius.”
            Ajda sengih sambil menggaru kepalanya.

            “Mana ada kak, takkanlah macam tu pulak. Ajda masuk bilik dululah ya kak, nak mandi pulak. Dah busuk peluh ni.” Ajda meminta diri sebelum menapak ke biliknya. Tidak mahu kak Najah berfikir yang bukan-bukan dan cuba mengorek isi hatinya. Kantoilah nanti.

Suka? =)

2 comments:

  1. Alala, kesian Ajda. Tapi even kalau dia tahu yg paksu Qisya tu Megat Talhah, sudi ke dia utk jadi isteri pemilik butik Talqisya tu? :')

    ReplyDelete
  2. Terima ajelah ajda... buat bakti pada bestfriend... boleh jaga qisya..

    ReplyDelete

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!

~Kepantasan Menaip~

Typing Test

Visit the Typing Test and try!

Lintas Lansung dari Penulisan2u