~Pembaca Setia~

*~Dari Lubuk Hati Penulis~*

Assalammualaikum semua!

blog ini AK hasilkan untuk mencoret karya-karya yang lahir dari hati AK khas untuk tatapan umum. AK masih bertatih dalam dunia penulisan ini, segala kelemahan AK harap dimaafkan. harap segala karya ini tidak akan ditiru dan diubah hakcipta kerana tolonglah hargai penat lelah dan jerih payah AK dalam menghasilkan karya-karya ini.

Pembaca semua sangat-sangat dialukan untuk memberi sebarang komen dan pandangan yang menbina. Diharap dengan adanya blog ini dapatlah kita berkongsi pendapat seterusnya membantu AK memperbaiki diri dalam arena penulisan ini...dan tolong doakan semoga impian AK untuk membukukan karya dan novel AK akan terlaksana... InsyaAllah... amin...
Terima kasih...

Penuh rasa Cinta,

~Aliesha Kirana~

Monday, April 10, 2017

Novel Pak Cik Kerek Semanis Pavlova Bab 13



AJDA menolak daun pintu butik Talqisya itu dengan berhati-hati sebelum menjenguk ke dalam, memerhati keadaan dalam butik yang masih belum ramai pelanggan.
            “Selamat datang ke Talqisya.” Ayat yang biasa dituturkan pekerja butik itu kedengaran sebaik Ajda melangkah masuk.
            “Eh Cik Ajda. Nak hantar stok pavlova ya?” seorang pekerja di situ menegur membuatkan Ajda lekas menganggukkan kepalanya. Memang mulai hari ini, masuknya bulan baru, dia sudah bisa meletakkan pavlovanya di butik Talqisya.
            “Ati tak datang hari ni?”
            “Dia pergi hospital, ada appointment.”
            “Eh kenapa?” dahi Ajda berkerut mendengar kata-kata pekerja itu.
            “Biasalah. Tengah mengandung, memang kena selalu pergi check up.”
            “Lah ye ke. Tak tahu pulak saya yang dia tengah mengandung.” Ajda tersengih sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Nampak kecil molek saja Ati itu, tak sangka pulak sudah berkahwin dan sedang mengandung.
            “Dah empat bulan dah pun. Cuma perutnya kecik, tak nampak sangat.”
            Ajda menganggukkan kepalanya tanda mengerti sebelum dia menjenguk pulak ke arah bilik Megat Talhah.
            “Encik Megat?” soal Ajda separa berbisik, risau kalau lelaki itu tiba-tiba saja muncul. Bukan boleh kira lelaki itu, selalu saja muncul di saat yang Ajda tak jangka.
            “Encik Megat cuti. Dah seminggu dia tak masuk butik.”
            “Oh okay.” Ajda menarik nafas lega dalam diam. Selamat lelaki dingin beku itu tak ada, kalau tidak dia pun tidak tahu bagaimana hendak berhadapan dengan pemilik butik itu setelah apa yang terjadi tempoh hari.
            “Cik Ajda bolehlah isikan pavlova tu dekat peti makanan ya. Saya ada kerja nak buat dekat belakang. Nanti dah siap, bagitahu saja sesiapa dekat kaunter.” Gadis itu bersuara sebelum berlalu meninggalkan Ajda yang masih teringatkan kejadian yang lalu.
            Encik Megat tak masuk butik seminggu? Kejadian tu pun minggu lepas, entah-entah memang sebab dia sampai Encik Megat bergaduh besar dengan kekasih dia tu dan terus tak datang kerja. Ok Ajda, jangan fikir yang bukan-bukan boleh tak? Yang sibuk jaga tepi kain Encik Megat tu kenapa? Lantaklah dia tak datang kerja pun, butik ni dia yang punya. Lagipun dah sah-sah kau tak ada kaitan dengan hal dia dan kekasih dia tu kan? Hesy!
            Ajda laju membawa langkahnya ke peti makanan sebelum meletakkan sebiji pavlova yang bersaiz besar ke dalam peti makanan itu sebelum meletakkan beberapa ketul mini pavlova yang dia sudah pekkan di dalam bekas-bekas comel ke dalam peti tersebut.
            “Nampak sedap.” Suara garau seseorang yang menerpa gegendang telinga Ajda waktu itu membuatkan dia lekas berpaling.
            “Eh Pak Kahar!” Ajda pantas mengorak senyuman sebaik wajah tua itu menjamu matanya.
            “Ajda buat sendiri ke?”
            “Haah. Saya buat dan jual online. Pak Kahar nak rasa, ambiklah satu. Saya belanja.” Ajda menghulurkan sebekas mini pavlova kepada Pak Kahar.
            “Eh tak payahlah. Pak Kahar bukan boleh makan manis, biasalah orang tua, ada penyakit. Saja Pak Kahar tegur, tengok kamu khusyuk sangat buat kerja tadi.” Pak Kahar menerangkan membuatkan Ajda kembali meletakkan mini pavlova itu ke dalam peti makanan tadi.
            “Hari ini saya boleh mula letak pavlova dekat butik ni, tu yang saya sibuk susun pavlova dalam peti makanan ni tadi. Pak Kahar kenapa ada dekat sini? Kan Encik Megat cuti.”
            “Encik Megat memanglah cuti tapi Pak Kahar mana boleh cuti jugak. Ni dokumen penting ni semua Pak Kahar kena hantar dekat Encik Megat. Siapa lagi nak buat kerja-kerja macam ni kalau bukan Pak Kahar.”
            “Macam tu pulak ya. Encik Megat tu cuti panjang pun fikir pasal kerja jugak ke?” Ajda sekadar berbasa-basi, malas sebenarnya nak cakap pasal lelaki itu tetapi hatinya rasa ingin tahu juga.
            “Encik Megat tu memang macam tu, selama ni pun mana pernah dia cuti panjang-panjang macam ni. Kerja saja yang dia fikir, dua puluh empat jam. Cuma... adalah tu masalahnya.”
            Ajda menelan liur, macam betul saja telahannya tadi.
            “Masalah ya?” Ajda bersuara datar, hilang fokusnya bila teringatkan kejadian yang lepas.
            “Encik Megat bercuti pun bukan dia pergi mana, berkurung saja dekat rumah tu. Frust bercinta agaknya.”
Srapp! Darah terasa menyerbu muka Ajda.
“Eh okaylah Ajda, Pak Kahar dah lewat ni nak hantar dokumen ni dekat Encik Megat, nanti bising pulak dia.” Pak Kahar menyambung sebaik dia menelek jam di tangannya.
            “Baik Pak Kahar. Hati-hati memandu.” Ajda tersenyum saat tubuh itu berlalu pergi darinya.
            Satu keluhan berat terbit dari bibir Ajda. Risau kalau-kalau dia yang menjadi punca masalah Megat Talhah walau dia langsung tidak ada kena mengena dengan lelaki itu. Bimbang Melissa itu salah faham sampai tahap putuskan hubungan dia orang. Hesy nauzubillah! Jangan fikir yang bukan-bukan Ajda. Tolonglah!

MEGAT Talhah membelek gambar Melissa yang terbaharu di laman instagram. Langsung tidak ada tanda yang gadis itu terkesan dengan perpisahan mereka. Senyuman yang terukir di bibir Melissa dari gambar selfienya, tetap indah dan berseri seperti selalu.
Dia juga kelihatan ceria bersantai bersama kawan-kawannya di sebuah restoran, menjamu selera dengan hidangan yang cukup menggiurkan dalam gambar yang berikutnya, tanda dia tetap lalu makan sedangkan sejak detik itu, Megat Talhah hendak minum air pun rasa tak ada hati.
Megat Talhah menghela nafasnya keras, terasa seolah dia saja yang diselubungi kesedihan. Dua tahun mereka bersama, pastilah Megat Talhah mengharapkan perhubungan itu sampai ke jinjang pelamin, siapa yang menyangka ikatan ini akan terputus di pertengahan jalan di saat dia sudah memasang impian untuk hidup bersama gadis itu sampai akhir hayatnya.
Hesy! Sudahlah Tal, Melissa dah move on. Patutnya kau pun sama! Dah seminggu kau dan dia putus, boleh tak kalau kau terima saja kenyataan sekarang yang kau dan dia memang tak berjodoh! Megat Talhah mengingatkan dirinya sendiri, tidak mahu perasaan kecewa bercinta ini terus membelenggu jiwanya.
Megat Talhah meraup wajahnya, mengumpul kekuatan sebelum bingkas bangun dari katilnya dan keluar dari bilik, menuruni anak tangga menuju ke bawah. Enggan berkurung lagi di dalam bilik, risau dia akan menjadi gila tak lama lagi kalau terus-terusan berkeadaan begitu.
Qisya yang sedang menonton televisyen, segera berpaling memandang Megat Talhah saat dia mendengar bunyi derap kaki seseorang. Megat Talhah mengambil duduk di atas sofa berdekatan Qisya.
“Tengok cerita apa?” soal Megat Talhah membuatkan Qisya terpempan.
“Tak ada apalah. Program lawak.” Jawab Qisya seketika kemudian.
Megat Talhah mengangguk tanda faham sebelum ikut menonton rancangan itu. Sesekali terdengar tawanya walau tidak begitu ketara. Dahi Qisya berkerut, setelah seminggu pak sunya macam zombie, ada nyawa tapi tak ada jiwa, baru hari ni dia nampak pak sunya macam berjiwa kembali. Kalau tidak, seharian Megat Talhah berkurung di dalam bilik dan cuma turun untuk makan saja, itupun kalau Qisya tanya sepatah, pak sunya akan jawab separuh patah. Macam tak ada mood langsung sebab tu Qisya tak berani nak tegur.
“Pak su dah okay ke?” soal Qisya setelah lama dia berjeda, mencari keberanian untuk menegur pak sunya.
“Hah?” Megat Talhah berpaling memandang Qisya.
“Pak su tulah, okay dah ke?” Qisya menekankan katanya sekali lagi.
“Okay. Kenapa?”
“Yelah, dah seminggu pak su tak pergi kerja. Nampak macam ada masalah tapi bila Qisya tanya langsung tak nak jawab.” Qisya mencebik.
Megat Talhah mengorak senyuman walau terasa palsu.
“Pak su dah okay, janganlah risau.” Bahu Qisya, Megat Talhah elus perlahan.
“Baguslah macam tu tapi kalau pak su rasa nak kongsi masalah pak su tu, bagitahu sajalah dekat Qisya. Qisya sudi dengar.”
Megat Talhah menghela nafasnya. Sudah lama dia berselindung dari Qisya, tidak mahu anak saudaranya itu fikir yang bukan-bukan tetapi dia tahu sejauh mana dia cuba sembunyikan pun pasti Qisya sudah dapat mengagak. Bukan Qisya tidak tahu selalunya bila Megat Talhah susah hati, pastinya kerana perkara berkaitan Melissa.
“Pak su dengan Melissa dah putus.”
“Apa? Macam mana boleh jadi macam ni?” Qisya tersentak, wajahnya jelas terkejut mendengar berita tersebut.
Megat Talhah tersenyum kelat sebelum menggelengkan kepalanya.
“Entahlah. Mungkin Melissa dah tak sanggup nak teruskan hubungan kami.”
“Maaf pak su, mesti ini sebab Qisya.”
“Eh jangan cakap macam tu, Qisya tak ada salah apapun.” Megat Talhah lekas menukas kata-kata Qisya itu. Tidak mahu Qisya menyalahkan dirinya di atas perpisahan yang terjadi.
“Kalau Qisya tak ada, mesti pak su dah bahagia kan?” Qisya menyoal dalam sayu yang sudah terasa mengigit jiwa. Hatinya dipagut pilu melihat pak sunya menderita kerana dirinya. Sudahlah pak sunya lama membujang kerana menjaga dia, bila dah sedia nak berkahwin, orang pula tak sudi sebab adanya dirinya. Sungguh Qisya rasa bersalah menyebabkan pak sunya tidak bisa bahagia.
“Ya Allah, kenapa cakap macam tu Qisya. Sekarang pun pak su dah cukup bahagia ada Qisya dekat sisi pak su. Kalau orang lain tak sudi, biarkanlah saja. Pak su dah tak nak fikir apa-apa dah sekarang.”
Qisya merenung wajah Pak sunya yang jelas serabut. Kalau benar pak sunya boleh menerima perpisahan itu, tak adalah sampai pak sunya berkurung seminggu di dalam rumah tak pergi kerja. Mesti pak sunya kecewa betul sebab sudah dua tahun dia bercinta dengan Melissa tu. Tup-tup tiba-tiba saja mereka putus.
“Qisya jangan risau ya. Pak su okay.” Megat Talhah menyambung katanya setelah melihat Qisya masih diam tidak berkutik. Qisya sekadar mengangguk perlahan, enggan menyerabutkan lagi fikiran pak sunya yang sedia berselirat. Biarlah pak sunya tenangkan diri buat masa sekarang, kerana dia tahu pak sunya sudah menyimpan terlalu banyak beban selama ini termasuk dirinya.

Megat Talhah kembali memusatkan perhatiannya pada skrin televisyen walau hatinya masih dijentik kekecewaan yang berpanjangan. Sekurang-kurangnya dia rasa boleh bernafas sedikit duduk di situ dari berterusan mengurung dirinya di dalam bilik kerana mengikutkan sakit di hati.

Suka? =)

2 comments:

  1. txs cik writer for the update. semoga megat cepat move on and qisha also move on dgn life dia.

    ReplyDelete

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!

~Kepantasan Menaip~

Typing Test

Visit the Typing Test and try!