~Pembaca Setia~

*~Dari Lubuk Hati Penulis~*

Assalammualaikum semua!

blog ini AK hasilkan untuk mencoret karya-karya yang lahir dari hati AK khas untuk tatapan umum. AK masih bertatih dalam dunia penulisan ini, segala kelemahan AK harap dimaafkan. harap segala karya ini tidak akan ditiru dan diubah hakcipta kerana tolonglah hargai penat lelah dan jerih payah AK dalam menghasilkan karya-karya ini.

Pembaca semua sangat-sangat dialukan untuk memberi sebarang komen dan pandangan yang menbina. Diharap dengan adanya blog ini dapatlah kita berkongsi pendapat seterusnya membantu AK memperbaiki diri dalam arena penulisan ini...dan tolong doakan semoga impian AK untuk membukukan karya dan novel AK akan terlaksana... InsyaAllah... amin...
Terima kasih...

Penuh rasa Cinta,

~Aliesha Kirana~

Wednesday, April 19, 2017

Novel Pak Cik Kerek Semanis Pavlova Bab 18


“DOKTOR Ikhwan kata nak kawan dengan kau?” mata Qisya membuntang selepas Ajda menceritakan segalanya saat mereka berdua berada di dalam kereta hari itu. Ajda memang merancang hendak selalu berjumpa dengan Qisya supaya sahabatnya itu tidak lagi merasa kesunyian setelah lama mereka tidak berhubungan.
            “Haah. Dia siap cakap nak ajak aku keluar bila dia dah tak sibuk nanti. Aku confuselah, Qisya. Apa makna semua ni?” Ajda meluahkan kemusykilan yang terbuku di benaknya.
            Qisya diam tidak berkutik. Hatinya terasa dicucuk-cucuk dengan belati, pedihnya sampai ke lubuk yang paling dalam.
            “Qisya, kau dengar tak ni?” Ajda menoleh sekilas ke arah Qisya yang duduk di sebelahnya di dalam kereta itu.
            “Dengar.” Datar suara Qisya berbicara.
            “Apa maksudnya, Qisya? Aku buntulah.” Ajda melepaskan keluhan. Sungguh dia tidak selesa dengan persoalan yang asyik menganggu ketenangannya sejak akhir-akhir ini.
            “Kau tak payah fikir teruk-teruk sangat. Kawan sajalah macam biasa.”
            “Memang aku setuju je jadi kawan dia tapi kenapa sampai nak kena mintak nak berkawan? Peliklah. Kawan tu kawan jelah, tak payah tanya.” Dahi Ajda berkerut. Tidak puas hati.
            “Kau tu yang pelik. Suka fikir sangat benda yang tak perlu kau fikir. Dari dulu tak berubah, lepas tu migrain.”
            Ketawa Ajda meledak. Tidak sangka Qisya masih ingat dengan tabiatnya yang memang suka fikirkan sesuatu perkara itu secara mendalam sampai kadang-kadang sakit kepalanya. Mungkin sindrom anak kedua orang kata.
            “Hmmm mungkinlah kot. Okaylah, malas aku nak fikir.” Ajda kembali fokus dengan pemanduannya. Enggan memikirkan perkara itu lagi, risau pulak kalau tiba-tiba migrainnya menyerang. Karang tak pasal segala tempahan pavlova dan kek yang dia terima tak dapat disiapkan dalam masa yang dah ditetapkan. Nak hantar stok baru dekat Talqisya lagi, kalau tak siap karang bising pulak pak cik kerek tu. Naya!
Qisya menoleh ke arah Ajda yang sudah kembali diam dan khusyuk menata pandangannya di hadapan. Mujurlah Ajda sudah tidak mengungkit soal itu dan Doktor Ikhwan juga sibuk dengan kerjanya hingga tidak memungkinkan pertemuan mereka semula buat masa ini. Apa yang pasti sekarang, dia harus melakukan sesuatu untuk menghalang mimpi ngerinya menjadi kenyataan. Hesy!

“PERGI mana pulak kali ni? Kerap ya keluar.” Suara di hujung talian membuatkan Qisya menguntum senyum.
            “Alah pak su, pak su jugak suruh Qisya jangan berkurung saja dekat rumah. Ni Qisya keluar happy-happylah dengan kawan Qisya.”
            “Hmmm yelah. Janji balik awal tau, jangan melencong lama sangat.”
            “Yelah, jangan risau pak su. Nanti sebelum Maghrib Qisya dah ada dekat rumah.”
            “Okay. Jaga diri baik-baik.”
            “Okay pak su. Assalammualaikum.”
            “Wa’alaikumussalam.”
            “Siapa tu, Qisya?” Ajda yang muncul membawa dua cawan kopi sebaik membelinya di kaunter kafe itu pantas menyoal Qisya yang baru saja meletakkan kembali telefonnya di atas meja.
            “Pak su aku.” Qisya bersuara datar.
“Pak su kau layan kau macam budak kecil kan? Pantang lama sikit, mulalah dia telefon.” Ajda ketawa kecil.
Qisya ikut ketawa.
“Biasalah, dia risaukan aku. Dari dulu aku rapat dengan paksu aku sebab dia duduk dengan family aku sejak aku kecil lagi. Dia memang manjakan aku jadi bila keadaan aku macam ni, lagilah dia buat aku macam budak-budak.” Qisya menjelaskan sebelum terfikirkan sesuatu. Dia mengangkat wajahnya memandang Ajda yang sedang menghirup kopi caramel machiatto panas di dalam cawannya.
“Kau ingat tak pak su aku ni?” soal Qisya tiba-tiba membuatkan Ajda kembali melarikan cawan itu dari bibirnya.
            “Pak su kau yang dulu kau selalu sebut masa zaman kita study tulah, kan?”
            Qisya mengangguk perlahan, mengiyakan kenyataan itu sebelum dia kembali membuka mulutnya.
“Kesian pak su aku. Sampai sekarang dia tak kahwin-kahwin sebab nak jaga aku lepas kematian mak ayah aku.” Qisya memandang Ajda yang khusyuk mendengar dengan anggukan kecil di kepalanya.
“Dia sanggup berhenti dari kerja dia sebagai engineer yang dah terjamin tu dan bukak perniagaan sendiri, bermula balik dari bawah sebab nak utamakan aku, tak nak aku terabai. Dia nak selalu bersedia kalau aku memerlukan apa-apa dan kalau terjadi apa-apa.”
Ajda masih diam tidak berkutik. Tertarik hendak mendengar cerita Qisya itu.
 “Kau tahu, orang kata macam-macam dekat dia termasuk curiga tentang hubungan aku dengan pak su aku tu sebab kami cuma duduk berdua dalam rumah tu tapi dia buat tak kisah pun pasal hal tu. JAIS siap pernah serbu rumah kami sebab ingat aku dengan pak su bersekedudukan tapi lepas pak su jelaskan dan dia orang pun tengok keadaan aku yang memang tak ada upaya ni, kami dibebaskan tanpa sebarang dakwaan.”
“Astaghfirullah. Sampai macam tu ya.” Ajda menggelengkan kepalanya, tidak faham dengan pemikiran masyarakat yang asyik berfikir yang bukan-bukan.
“Pak su aku bercinta dengan seorang perempuan ni, lama jugak la dalam dua tahun macam tu. Tapi malangnya, sampai sekarang perempuan tu tak nak kahwin dengan pak su aku. Dan semuanya sebab aku.” Qisya bersuara sayu, matanya sudah berkaca apabila mengingatkan Pak sunya.
“Sebab kau?”
Qisya laju mengangguk.
“Walaupun pak su aku tak pernah cakap tapi aku tahu, perempuan tu tak boleh kahwin dengan pak su aku sebab aku. Perempuan mana yang rela berkahwin dengan lelaki yang jaga anak saudaranya yang cacat?”
“Hesy, tak baik cakap macam tu, Qisya.”
“Memang pahit tapi itu kebenarannya, Ajda. Dan sekarang pun, dia orang dah putus sebab perempuan tu dah tak boleh bertahan, menunggu perkara yang tak pasti. Mungkin dia nak tengok aku mati dulu baru dia boleh terima pak su aku.” Qisya mendengus, sebal.
“Astaghfirullah hal ‘azim. Kenapa kau fikir yang bukan-bukan ni?”
“Betullah. Apa salah ke aku cakap? Dia nak aku berhambus dari hidup pak su aku baru dia boleh kahwin dengan pak su aku. Pak su aku pulak takkan biarkan aku pergi dari hidup dia walaupun berkali aku cakap aku rela saja beralah demi kebahagiaan dia. Jadi, mungkin aku kena mati dulu baru perempuan tu kahwin dengan pak su aku dan pak su aku bahagia.”
Ajda menghela nafasnya perlahan. Memahami hati Qisya yang dihuni perasaan tidak enak sebegitu.
“Pak su aku dah banyak berkorban untuk aku, Ajda. Aku sayangkan dia jadi kalau boleh aku nak tengok dia kahwin dan bahagia. Bukannya hidup merana dan kesepian disebabkan aku.” Qisya menyeka air matanya yang sudah bertakung di tubir mata.
“Aku faham, Qisya.” Ajda mengelus tangan Qisya, cuba menenangkan gundah di jiwa Qisya saat itu.
“Sebab tu... aku nak buat satu permintaan, Ajda.” Qisya memandang Ajda dengan wajah yang penuh pengharapan.
“Permintaan?” kening Ajda bertaut, tidak mengerti.
“Ya, permintaan yang aku rasa kau saja boleh tunaikan.”
“Apa dia?” Ajda menyoal dengan debaran di dadanya. Gusar mula bertandang.
“Kahwin dengan pak su aku. Jadi mak su aku.”
“Hah?” Mata Ajda mencerlung mendengarkan permintaan yang sungguh dia tidak jangkakan itu.
“Apa... apa kau merepek ni?” Ajda masih tidak bisa menghadam kata-kata yang keluar dari mulut Qisya tadi.
Qisya menghela nafasnya sebelum dia memaut dan menggenggam tangan Ajda.
“Aku tahu kau yang paling sesuai untuk pak su aku, Ajda. Kau sahabat baik aku, mesti kau tak kisah dengan keadaan aku ni kan?”
“Ya, aku memang tak kisah. Aku rela buat apa saja untuk kau Qisya tapi kenapa mesti kena kahwin dengan pak su kau? Aku boleh jaga kau, ada di sisi kau tanpa perlu kahwin dengan pak su kau tu, Qisya.”
“Lain, Ajda. Kau takkan boleh sentiasa ada dengan aku. Lagipun aku bukan nak kau ada di sisi aku semata, tapi juga Pak su aku. Aku nak kau bahagiakan dia, boleh kan?”
Ajda menelan liur yang terasa tersekat di kerongkongnya. Terlalu berat rasanya permintaan Qisya itu untuk dia terima.
Keluhan berat kedengaran terbit dari bibir Qisya.
“Tak apalah, Ajda. Aku faham, bukan mudah untuk kau terima permintaan aku ni. Tak apalah, kau anggap sajalah aku tak pernah cakap apa-apa.” Qisya bersuara tanpa memandang Ajda, kopi latte panas yang sudah menjadi suam itu dihirupnya perlahan.
Ajda menggumam. Sungguh dia tidak tahu bagaimana hendak memberikan jawapan yang sewajarnya untuk tidak menyakitkan hati Qisya.
“Bagi aku masa, Qisya. Aku janji aku akan fikirkan hal ni.” Ajda menghela nafasnya setelah memberikan jawapannya kepada persoalan Qisya tadi. Sekurang-kurangnya dia punya waktu untuk meredakan keadaan dan pada masa yang sama, tidak terus melukakan hati sahabatnya yang sedia terluka dan bersalut rawan.

“Betul ke, Ajda? Baik aku tunggu keputusan kau dan aku harap aku dapat jawapan yang aku nak.” Qisya bersuara girang dan menggenggam tangan Ajda dengan erat kembali. Ajda menghela nafasnya sebelum ikut tersenyum saat melihat senyuman manis terukir semula di wajah Qisya yang mendung tadi.

Suka? =)

3 comments:

  1. haha permintaan yg amat berat di mata dan hati... Kalaulah Ajda tahu siapa packiknya.... hehe

    ReplyDelete
  2. Permintaan yg ada maksud tersirat disebalik nya nih.. nak elak kan dr.ikhwan dari menjadi dgn ajda..

    ReplyDelete

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!

~Kepantasan Menaip~

Typing Test

Visit the Typing Test and try!