~Pembaca Setia~

*~Dari Lubuk Hati Penulis~*

Assalammualaikum semua!

blog ini AK hasilkan untuk mencoret karya-karya yang lahir dari hati AK khas untuk tatapan umum. AK masih bertatih dalam dunia penulisan ini, segala kelemahan AK harap dimaafkan. harap segala karya ini tidak akan ditiru dan diubah hakcipta kerana tolonglah hargai penat lelah dan jerih payah AK dalam menghasilkan karya-karya ini.

Pembaca semua sangat-sangat dialukan untuk memberi sebarang komen dan pandangan yang menbina. Diharap dengan adanya blog ini dapatlah kita berkongsi pendapat seterusnya membantu AK memperbaiki diri dalam arena penulisan ini...dan tolong doakan semoga impian AK untuk membukukan karya dan novel AK akan terlaksana... InsyaAllah... amin...
Terima kasih...

Penuh rasa Cinta,

~Aliesha Kirana~

Monday, March 27, 2017

Novel Pak Cik Kerek Semanis Pavlova Bab 6



“YA?” Ajda bersuara saat dia melihat seorang lelaki yang berumur lingkungan lewat lima puluhan sedang berdiri tegak di hadapannya. Lelaki itu berpakaian kemas dan nampak macam orang baik-baik.
            “Bos saya suruh tengokkan kereta cik.” Lelaki itu bersuara sambil menunjuk ke arah kereta Ajda.
            “Bos?” kening Ajda bertaut. Bos mana pulak ni?
            “Megat Talhah.”
            “Hah?” Ajda tergamam, sukar hendak percaya. Pak cik kerek tu suruh pekerja dia tengokkan kereta aku? Biar betul?
            “Apa masalahnya, cik?”
            “Eh pak cik tak payahlah panggil saya cik. Panggil saya Ajda je.”
“Baik Ajda. Nama pak cik Pak Kahar, driver Encik Megat.” Lelaki itu tersenyum memperkenalkan diri.
“Oh okay, Pak Kahar. Ni sebenarnya, kereta saya tak boleh start langsung. Abang saya cakap mungkin bateri kereta habis.”
            “Oh.” Lelaki tua itu menganggukkan kepalanya.
“Pak Kahar tengok kejap ye.” Lelaki itu meminta.
Ajda pantas menganggukkan kepalanya. Pak Kahar membuka pintu kereta dan cuba menghidupkan enjin namun seperti tadi, enjin langsung tak boleh dihidupkan.
“Ajda ada nak pergi mana-mana ke lepas ni? Kalau ada urusan dekat tempat lain, biar Pak Kahar hantar dulu. Kereta ni nanti Pak Kahar tukarkan baterinya.” Pak Kahar bersuara saat dia berpaling memandang ke arah Ajda semula.
Ajda terkedu.
“Hesy tak payahlah Pak Kahar, susahkan Pak Kahar je. Saya boleh naik teksi.”
“Tak apa, memang Encik Megat suruh Pak Kahar tengokkan kereta ni dan hantar Ajda ke mana yang Ajda nak pergi sementara kereta ni siap. Dah jadi tugas Pak Kahar dah ni.”
Kening Ajda terangkat. Pak cik kerek tu suruh? Hmmm boleh percaya ke?
“Bos Pak Kahar tu macam mana? Tak apa ke Pak Kahar tinggalkan dia?”
“Tak apa, tadi Pak Kahar dah hantar Encik Megat pergi mesyuarat dah. Lepas hantar Ajda nanti Pak Kahar pergilah ambil dia.”
“Terima kasih, Pak Kahar.” Ajda tersengih. Lega ada yang sudi membantu, tapi tak sangka pulak bantuannya itu datang dari arahan pak cik kerek tu. Ada hati dan perasaan jugak Encik Megat Talhah yang sedingin ais tu. Heh!
                       
“LAMBAT kamu datang hari ni, Ajda.” Kak Kathy menyoal saat Ajda muncul di dalam kedai serbaneka Kak Kathy yang terletak di dalam Hospital Muqmeen itu.
            Ajda menarik sengih, beberapa kotak pavlova dia keluarkan dari bekas simpanan dan disusun ke dalam peti makanan di kedai itu.
            “Ada problem sikit tadi, kak.”
            “Problem? Problem apa?” Kak Khaty mengangkat kening.
            “Kereta tak boleh start tadi kak. Bateri habis.”
            “Lah, ye ke? Habis tu tadi kamu datang naik apa? Teksi ke?”
            “Taklah. Ada orang hantarkan.” Ajda menggaru kepalanya yang tidak gatal.
            “Amboi sesuatu sangat statement tu. Sejak bila kamu ada kekasih hati ni, Ajda? Tak bagitahu akak pun.”
            “Hesy akak ni, bila masa pulak saya ada kekasih hati. Ada pak cik seorang nilah, dari butik Talqisya tu, tolong hantarkan saya. Bos Talqisya suruh dia tengokkan kereta saya dan hantar saya. Pak cik tu driver bos Talqisya tu.”
            “Amboi, bukan calang-calang orang yang kamu dapat ya, Ajda. Pemilik butik Talqisya tu, bertuah badan!”
            Dahi Ajda berkerut. Dah kenapa Kak Kathy ni merepek tak habis-habis. Tadi kata Pak Kahar kekasih hati aku, sekarang ni dia kaitkan aku dengan pak cik kerek, Megat Talhah tu pulak. Hesy mintak simpanglah!
            “Akak jangan mengarut boleh tak? Dia tolong saya sebab saya tersangkut dekat depan butik dia sajalah.”
            “Alah kamu ni, Kak Khaty baru je nak berangan kamu ni calon isteri pemilik butik Talqisya tu. Potong stim betul.” Kak Khaty mendengus.
            “Dah, jangan nak fikir yang bukan-bukan lagi ye kak. Nanti saya babap baru tau.”
            Kak Khaty ketawa.
            “Akak ingatkan kamu tak jadi datang hari ni. Biasanya awal-awal lagi kamu dah sampai. Nasib kamu datang jugak, kalau tidak kempunanlah Doktor Ikhwan nak merasa pavlova kamu hari ini. Dah berapa hari dia tanya akak, bila kamu nak datang restock. Akak bagitahu dia, kamu nak datang hari ni.” Kak Kathy tersengih-sengih sambil menggelengkan kepalanya.
            “Doktor Ikhwan?” Ajda menggaru kepalanya. Dia bingkas bangun setelah selesai menyusun kotak-kotak pavlova itu di dalam peti makanan kedai serbaneka itu.
            “Yelah. Selalu dia datang kedai ni cari pavlova kamu tu. Berhantu katanya. Kerap dia beli pavlova kamu tu.” Kak Kathy teruja bercerita.
            “Ehem, akak cakap pasal saya ya?” suara garau seseorang membuatkan Ajda dan Kak Kathy berpaling serentak.
            “Hah, panjang umur doktor. Ni tuan punya pavlova dah datang restock. Memang rezeki doktorlah hari ni.”
            Doktor muda, tinggi lampai itu tersenyum, menyerlahkan giginya yang putih bersih, manis sekali pada pandangan mata Ajda. Rasa tak boleh nak beza doktor itu dengan model, sama saja segaknya. Hampir saja jantungnya berhenti berdegup akibat terkesima melihat doktor tersebut. Memang boleh bikin jatuh cinta pandang pertama!
            “Oh inilah tuannya. Sedap sangat pavlova ni, saya suka.”
            Ajda melorek senyum semanis mungkin, rasa bahagia dipuji sebegitu.
            “Terima kasih. Pavlova saya biasa-biasa saja doktor.”
            “Ya Allah, apa pulak biasa-biasa, saya sampai rasa ketagih dengan pavlova awak ni.”
            Eh doktor ni Islam ke? Ingatkan lelaki Korea tadi. Ajda tersengih sendiri.
            “Terima kasih, doktor.” Ajda bersuara lagi, malu-malu bila asyik dipuji walaupun doktor itu puji pavlovanya bukannya dirinya sampai dia perlu rasa merah muka sebegitu.
            “Eh apa pulak terima kasih dekat saya. Terima kasih dekat awaklah sebab buat pavlova sedap macam ni.”
            “Kalau asyik lawan berterima kasih macam ni, sampai esok pun tak habis.” Kak Khaty yang menyampuk tiba-tiba membuatkan Ajda dan Doktor Ikhwan serentak memandang Kak Khaty sebelum keduanya ketawa.
            “Okaylah Kak Khaty. Kerja saya dah selesai, saya balik dululah ya.” Ajda meminta diri, rasa segan nak berlama dekat situ. Risau matanya tak reti nak berhenti dari merenung doktor kacak di hadapannya saat itu. Karang tak pasal dia kantoi, skodeng anak teruna orang yang entah-entah dah jadi suami orang dah pun. Selalu lelaki kacak ni kahwin awal, ramai naklah katakan.
            “Okay Ajda. Nanti akak contact Ajda bila nak dekat habis, risau ada orang ternanti-nanti pulak.” Kak Khaty menjeling ke arah Ikhwan membuatkan doktor muda itu tersenyum malu.
            Aduh kacaknya! Okay Ajda, behave yourself! Dah-dah, jangan tengok lama-lama, nanti hati tu jatuh, susah nak pungut!
            “Okay kak.” Ajda melorek senyum kembali kepada Kak Khaty dan menunduk tanda hormat kepada Ikhwan.
            “Jumpa lagi, Ajda.” Suara doktor itu kedengaran di telinga Ajda saat dia mula mahu melangkah meninggalkan kedai serbaneka itu. Ajda berpaling seraya tersenyum sebelum kembali laju mengatur langkahnya, risau hatinya tertinggal di situ kalau dia berlama lagi.

ALONG tak payah datang tengokkan kereta. Ada orang dah tolong tengokkan dan nak tolong tukarkan bateri kereta. Maaf susahkan along. Nanti Ajda sampai rumah, Ajda WhatsApp balik.
Ajda menghantar mesej itu ke aplikasi WhatsApp sambil dia berjalan mahu meninggalkan perkarangan hospital itu.
“Pak su tak payahlah risau, pandailah Qisya balik nanti.” Suara seseorang yang kedengaran berdekatan Ajda saat itu membuatkan hati Ajda rasa tersentak, mata Ajda meliar mencari, dirinya terasa seolah begitu mengenali suara itu dan pemilik nama yang baru disebut tadi.
            “Okay, nanti Qisya sampai rumah, Qisya bagitahu Pak su. Assalammualaikum.”
            Ajda tergamam, gadis berkerusi roda yang sedang menyimpan telefon bimbitnya ke dalam beg, Ajda perhatikan lama. Benarkah matanya tidak silap melihat. Ya Allah, benarkah ini dia?
            “Qisya?” Ajda menyoal takut-takut saat bahu gadis itu disentuh dari belakang. Gadis itu berpaling sebelum mata mereka saling bertautan.

            Allah! Ajda merasakan jantungnya berhenti berdegup saat itu.

Suka? =)

1 comment:

  1. txs for the update cik writer. Ajda kenal Qisha? menarik nie.

    ReplyDelete

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!

~Kepantasan Menaip~

Typing Test

Visit the Typing Test and try!

Lintas Lansung dari Penulisan2u