~Pembaca Setia~

*~Dari Lubuk Hati Penulis~*

Assalammualaikum semua!

blog ini AK hasilkan untuk mencoret karya-karya yang lahir dari hati AK khas untuk tatapan umum. AK masih bertatih dalam dunia penulisan ini, segala kelemahan AK harap dimaafkan. harap segala karya ini tidak akan ditiru dan diubah hakcipta kerana tolonglah hargai penat lelah dan jerih payah AK dalam menghasilkan karya-karya ini.

Pembaca semua sangat-sangat dialukan untuk memberi sebarang komen dan pandangan yang menbina. Diharap dengan adanya blog ini dapatlah kita berkongsi pendapat seterusnya membantu AK memperbaiki diri dalam arena penulisan ini...dan tolong doakan semoga impian AK untuk membukukan karya dan novel AK akan terlaksana... InsyaAllah... amin...
Terima kasih...

Penuh rasa Cinta,

~Aliesha Kirana~

Friday, March 17, 2017

Novel Pak Cik Kerek Semanis Pavlova Bab 1



Bab 1
TALQISYA.
Ajda merenung papan tanda butik vendor itu dengan rasa sedikit gementar. Ini bukan kali pertama dia berurusan dengan butik vendor tetapi butik yang satu ini terasa lain macam saja debarannya. Hati rasa tak sedap macam ada awan hitam sedang menyelubungi jiwanya saat itu. Ah, dah kenapa?
            Bismillahitawakkaltua’lallah.                                                                      
            Ajda mengulang ayat itu beberapa kali sebelum daun pintu utama butik itu dia tolak. Kepalanya tersembul ke dalam, memerhati dahulu segenap ruang sebelum masuk dengan gerak perlahan. Senyuman pembantu butik menyambut Ajda membuatkan gadis itu ikut mengukir senyum.
            “Selamat datang ke Talqisya.” Ucap pembantu butik itu sebaik senyumannya berbalas. Ajda segera mendekati gadis kecil molek itu sebelum bersuara separa berbisik. Risau mengganggu pelanggan butik yang boleh tahan ramainya walaupun masih di dalam waktu pejabat. Tak tahulah dari mana datangnya gadis-gadis hijabista fashionista ni semua sampaikan waktu begini pun masih boleh melepak di butik.
            “Saya dari The Jida Dessert. Nak apply jadi vendor.”
            “Oh cik dari The Jida Dessert yang call semalam eh?”
            Ajda mengangguk laju.
            “Okay, cik ikut saya ya.”
            Pembantu butik itu melangkah laju membuatkan Ajda pantas mengekorinya dari belakang. Berjalan ke arah sudut paling hujung di dalam butik yang boleh tahan besarnya itu. Beg plastik yang dia bawa, dikemaskan dalam genggaman.
            Langkah Ajda terhenti saat pembantu butik itu berhenti di hadapan pintu sebuah bilik. Kepalanya mendongak memerhati nama yang tertera di situ.
            Megat Talhah bin Megat Harun.
            Erk! Liurnya yang kesat ditelan dengan payah.
            Dia ingat pemilik butik vendor ini seorang perempuan, tapi rupa-rupanya lelaki. Aduh segannya! Ajda mengetap bibir.
            Pintu itu diketuk.
            “Masuk.” Suara garau kedengaran.
            “Encik Megat, cik...” gadis kecil molek itu bersuara saat membuka pintu bilik itu sebelum memandang Ajda semula, meminta pengertian.
            “Ajda.” Pendek Ajda membalas. Mengerti.
“Cik Ajda dari The Jida Dessert dah sampai.” Pembantu butik itu bersuara kembali sebaik dia menjenguk kepalanya ke dalam.
            Dia berpaling semula ke arah Ajda sesaat kemudian sebelum tersenyum.
“Cik boleh masuk sekarang.” Gadis itu bersuara lalu melangkah meninggalkan Ajda yang masih terpinga-pinga.
Perlahan Ajda memulas tombol pintu sebelum melangkah masuk ke dalam bilik itu dengan berhati-hati.
“Assalammualaikum.”
“Waalaikumussalam.” Lelaki itu mendongak dan memandang Ajda dengan wajah yang tidak beriak. Senyum pun tidak, masam pun tidak.
“The Jida Dessert?”
“Ya. Saya Ajda. Saya nak apply slot untuk peti makanan dekat butik ni.” Ajda tersenyum memulakan bicara.
Dingin. Masih tidak beriak.
“Duduk.” Pelawanya datar.
Ajda terkedu. Perlahan dia tarik kerusi di hadapannya dan duduk menghadap lelaki itu. Beg plastik yang dia bawa sedari tadi, dia letakkan di atas meja.
“Ini saya ada bawa sample pavlova untuk pihak encik rasa.”
“Tak apa, itu kemudian. Sekarang ni cik ada bawa portfolio tak?” lelaki itu merapatkan tubuhnya ke meja sebelum menyilangkan jari jemarinya sambil memandang Ajda dengan wajah yang tidak mampu dibaca.
Kening Ajda terangkat.
“Portfolio?”
“Ya, dekat butik ini setiap vendor yang mahu menyewa tapak kami harus bawa portfolio.”
Ajda garu kepala.
“Errr maaf bertanya. Portfolio yang macam mana encik maksudkan?”
Lelaki itu bersandar pada kerusinya semula sambil tangannya dilipat rapat ke dada sebelum dia memandang Ajda tajam, seolah soalannya tidak molek diajukan.
“Portfolio tentang business online cik. Berapa ramai follower di media sosial, berapa banyak sales tiap bulan, dan semua perkara penting yang membuatkan pihak kami berminat untuk menyewakan tapak kepada pihak cik. You have to buy us.”
Gulp! Ajda menelan liur.
Tak pernah-pernah dia berhadapan dengan situasi begini, nak mohon jadi vendor pun sampai kena buat portfolio segala. Dengan butik vendor yang dia pernah berurusan tak adalah strict begini. Butik Kak Peah tu ok je pun, bagi sample sembang-sembang dah jadi, butik Ferralicious yang agak gah tu pun senang saja nak apply, tak banyak songeh.
Ah padan muka kau, Ajda! Siapa suruh gatal nak try butik berprestij ni. Kan terkena sendiri.
Ajda menggaru kepalanya yang jelas tidak gatal walau berbalut tudung sedari tadi.
“Maaf, encik. Saya tak tahu pulak kena bawa portfolio. Kalau esok saya bagi boleh?”
Lelaki di hadapannya itu mendengus.
“Lain kali tanya dahulu sebelum datang ke sini. Jangan main serbu saja.” Lelaki itu menyindir sinis.
Ajda menggigit bibirnya kuat, menyabarkan hatinya supaya tidak melawan. Salah dia juga tak tanya dahulu, datang tanpa usul periksa. Dah dia yang beria sangat nak jadi vendor dekat butik eksklusif ini, kenalah dia tabahkan hati. Biar sampai jadi perjanjian mereka itu barulah dia boleh menarik nafas lega.
 “Maafkan saya, encik. Esok confirm saya bawak portfolionya.”
Lelaki itu menjeling.
“Ok, kalau macam tu cik boleh keluar. Esok datang bawa portfolio.” Lelaki itu bersuara sebelum menunduk kembali, menyambung kerjanya seolah tidak berminat untuk melayan Ajda lagi.
Ajda menggumam. Dia bangun lambat-lambat sambil memandang wajah lelaki itu yang langsung tidak memandang ke arahnya kembali.
“Errr encik. Sample ni?” Ajda menyoal sambil mengangkat beg plastik yang terisi dua kotak kecil pavlova yang dia buat sendiri itu.
Lelaki itu menjenguk plastik tersebut sekali lalu sebelum memandang Ajda semula.
“Saya tak makan benda manis, cik serahkan dekat kaunter saja.” Lelaki yang dipanggil Encik Megat itu fokus semula dengan kerjanya, membiarkan Ajda terkulat-kulat.
Ajda menghela nafasnya sebelum keluar dari bilik itu dengan hati yang sebal.
Kerek betul pak cik ni! Macam la bagus sangat! Poyo! Ajda menyumpah di dalam hati sambil berlalu ke kaunter butik.
Pembantu butik tadi kembali menyambutnya dengan senyuman.
“Macam mana cik? Dah settle?”
Ajda menggeleng.
“Saya tak bawak portfolio. Tak tahu pulak kena sediakan portfolio segala.” Ajda mendengus.
“Oh cik tak tanya dulu ya sebelum datang?”
Ajda menggeleng.
“Dekat sini memang itu prosedurnya, cik. Kena bagi portfolio dulu dan Encik Megat akan tapis sebelum bagi kelulusan. Tak apa, esok cik bawak ya.”
Ajda tersenyum seraya mengangguk.
“Tapi...” Ajda mendekati pembantu butik itu sebelum berbisik.
“Encik Megat tu memang serius macam tu ke?”
Pembantu butik itu ketawa kecil.
“Dia memang tegas sikit cik, tapi hati dia baik. Dengan staff dia okay saja, tak adalah serius memanjang.”
“Mesti stress kan, kerja dengan dia.” Ajda memandang ke arah bilik tadi. Macam ternampak saja aura negatif di sekeliling bilik itu. Huh!
“Biasalah, kalau buat salah memang menggeletarlah satu badan tunggu kena marah, cik.”
Ajda ketawa. Ramah pula pembantu butik ni melayan dia.
“Nama saya, Ajda. Panggil Ajda je tak payah panggil cik.”
“Saya Ati.”
Ajda senyum.
“Ok Ati, esok saya bawak ya portfolio tu. Hah lagi satu, ini sample pavlova yang saya buat, bos awak suruh bagi dekat kaunter.” Ajda menghulurkan plastik yang terisi pavlova tadi kepada pembantu butik bernama Ati itu.
“Wah mesti sedap. Terima kasih. Nanti kami cuba.” Laju saja Ati menyambut plastik itu sebelum membelek isi di dalamnya dengan rasa teruja.
“Ok, nanti bagi komen ya. Harap menepati citarasa.” Ajda tersengih. Senang berbual dengan gadis bernama Ati itu, ramah. Tak macam bos dia, kerek nak mampus!
“Insya-Allah.”
“Tapi bos awak tu tak suka benda manis ya?”
“Haah dia tak suka.” Ati tersengih. Faham sangat dah dengan perangai Encik Megat, cerewet. Itu tak boleh, ini tak boleh. Sampaikan bab makanan pun dia nak cerewet, manis sangat tak boleh, berlemak sangat tak boleh. Macam-macam!
“Maaf saya nak tanya sikit, butik ni memang Encik Megat punya ke? Saya ingat bos butik ni perempuan. Macam biasalah, butik-butik vendor ni biasanya perempuan yang suka bukak. Kalau ada lelaki pun pemilik bersama, suami isteri.” Ajda menyoal setelah membiarkan persoalan itu terbuku sedari tadi.
“Ya, memang Encik Megat pemilik butik ni. Tapi dia ada sorang lagi share partner, perempuan. Cuma kami tak kenal, tak pernah datang sini.”
Ajda menggangguk. Dah agak dah, mesti ada pemilik bersama yang perempuan. Takkan lelaki macam dia, minat nak bukak butik kecuali dia tu jenis lembut-lembut sikit. Ini bukan main kasar lagi. Huh!
“Isteri Encik Megatlah kan?”
“Eh tak, dia belum kahwin.” Laju Ati menafikan.
Mata Ajda membulat.
“Belum kahwin? Berapa umur dia?”
“Tiga puluh tujuh.”
“Hesy, dah tua tak kahwin lagi?” Dahi Ajda berkerut, tidak puas hati. Dia tengok segak saja Encik Megat tadi, wajahnya manis walaupun dia tidak senyum, ada janggut sejemput menghiasi wajahnya. Memang wajahnya nampak matang sikit tapi masih ada sisi yang menawan. Penampilannya juga nampak kemas bergaya, layak sangat untuk jadi calon pilihan wanita. Ini mesti sebab perangai kerek dia tu, siapa boleh tahan kan? Huh!
“Belum jodoh kot.” Ati menyengih.
“Haah yelah, kan. Jodoh ni rahsia Allah, siapa kita nak pertikai, kan?”
“Ya, betul tu.”
Ajda berjeda. Pandangannya lepas ke arah bilik Megat Talhah semula.
“Eh oklah, Ati. Maaf saya banyak soal pulak padahal baru pertama kali datang sini.” Ajda tersengih sambil menggaru kepalanya, saat tersedar dari jedanya. Terasa macam melebih pulak menyoal Ati pasal bos kerek butik Talqisya ini.
“Tak apa, harap awak dapat slot tu nanti ya.”
“Amin. Doakan ya. Saya balik dulu.” Ajda tersenyum sambil menepuk bahu Ati. Langkahnya kembali diatur untuk keluar dari butik itu.
            Ajda mendongak memandang kembali papan tanda butik itu sebaik dia masuk ke dalam keretanya semula yang diparkir betul-betul di hadapan butik, memikirkan kembali situasi yang baru dihadapinya tadi. Satu keluhan berat dia lepaskan sebelum dia menghidupkan enjin kereta.

            Aduh apalah nasib, tersilap percaturan dia kali ini. Ingat senang nak mohon slot macam butik vendor lain, rupanya kena berhadapan dengan pemilik kerek yang tak ada perasaan tu pulak. Hesy, dugaan orang nak berjaya gamaknya. Bertabahlah Ajda! Kipidap dongibab!

Suka? =)

1 comment:

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!

~Kepantasan Menaip~

Typing Test

Visit the Typing Test and try!

Lintas Lansung dari Penulisan2u