~Pembaca Setia~

*~Dari Lubuk Hati Penulis~*

Assalammualaikum semua!

blog ini AK hasilkan untuk mencoret karya-karya yang lahir dari hati AK khas untuk tatapan umum. AK masih bertatih dalam dunia penulisan ini, segala kelemahan AK harap dimaafkan. harap segala karya ini tidak akan ditiru dan diubah hakcipta kerana tolonglah hargai penat lelah dan jerih payah AK dalam menghasilkan karya-karya ini.

Pembaca semua sangat-sangat dialukan untuk memberi sebarang komen dan pandangan yang menbina. Diharap dengan adanya blog ini dapatlah kita berkongsi pendapat seterusnya membantu AK memperbaiki diri dalam arena penulisan ini...dan tolong doakan semoga impian AK untuk membukukan karya dan novel AK akan terlaksana... InsyaAllah... amin...
Terima kasih...

Penuh rasa Cinta,

~Aliesha Kirana~

Thursday, April 6, 2017

Novel Pak Cik Kerek Semanis Pavlova Bab 11



“YOU nak cakap pasal apa, Mel? Kalau you nak marah I lagi pasal hal perkahwinan tu, I janji I takkan ungkit soal perkahwinan sampai you sedia. I akan tunggu you, walaupun I terpaksa membujang lagi lima atau sepuluh tahun. I terima Melissa.” Megat Talhah meluahkan rasanya sebaik mereka berdua duduk di dalam kafe berdekatan butik Talqisya.
            Melissa menghela nafasnya untuk kesekian kali. Jemarinya sekadar bermain dengan cawan yang terisi kopi latte panas tanpa memandang ke arah Megat Talhah di hadapan. Mindanya sibuk menyusun ayat dan jiwanya sedang mengumpul kekuatan untuk berbicara dengan Megat Talhah kali ini.
            “Melissa, jangan seksa jiwa I dengan diam macam ni. Kalau ada apa yang you nak luahkan, you luahkan saja I sudi dengar. You nak marah I ke, nak membebel dekat I pun silakan. I rela dari you bagi I silent treatment macam ni.”
            “Tal...” Melissa bersuara serentak mengangkat wajahnya memandang ke arah Megat Talhah, lelaki yang dia sayang selama ini. Dua tahun menyulam cinta sudah cukup untuk dia kenal hati budi lelaki itu. Walau perjalanan cinta mereka tak semuanya indah apatah lagi hubungan mereka tidak pernah direstui keluarganya gara-gara Megat Talhah menjaga anak saudaranya yang lumpuh tetapi Melissa tetap setia selama ini.
            “I nak putuskan hubungan kita.”
            Srapp! Darah terasa menyerbu muka Megat Talhah, jantungnya terasa terhenti saat itu juga.
            “What? Apa you merepek ni, Melissa?” Megat Talhah tidak mahu percaya langsung dengan apa yang dia baru dengar keluar dari mulut Melissa.
            “Kalau pasal perempuan tadi, percayalah memang I tak ada apa-apa hubungan dengan dia. Dia vendor butik I, itu saja. I pun baru kenal dia semalam!” Megat Talhah berkerut memberikan penjelasan, risau situasi tadi masih menghantui Melissa walau hal itu tidak benar sama sekali.
            “No, bukan sebab tu, I percaya cakap perempuan tu tadi. Ini bukan sebab orang lain, tapi sebab kita. I rasa I dah penat.” Melissa mengeluh.
            “Penat? Penat apa Melissa? I yang tunggu you selama ni, sepatutnya I yang rasa penat but no, I masih setia menunggu dan mengharapkan you sudi berkahwin dengan I suatu hari nanti. Kalau pasal hal perkahwinan, kan I dah bagitahu I sanggup tunggu. You janganlah risau.”
            Melissa menunduk kembali, cuba menyembunyikan air mata yang sudah bertakung di kolam matanya.
            “Tal... I dah fikirkan perkara ni masak-masak. I rasa memang kita dah tak boleh teruskan hubungan ni. Sia-sia saja kalau kita tetap teruskan hubungan sedangkan kita tak ada masa depan bersama.”
            “Melissa, listen to me. I boleh tunggu you. Tak apa, I sanggup.” Megat Talhah memujuk walau hati dia sendiri terasa bagai dihiris belati.
            “I know!” Melissa memandang Megat Talhah semula dengan air matanya yang sudah berlinangan.
“You memang baik, Tal. Tapi...” Melissa mengetap bibirnya kuat, menahan rasa sebak yang mencengkam dada saat dia mahu meluah kata yang terasa begitu sukar diungkapkan.
“Tapi apa Melissa? Tolonglah jangan buat I macam ni.” Megat Talhah merayu. Matanya sudah berkaca menahan getaran di jiwanya.
“Tapi, I tak sanggup mintak you bertahan pada hubungan yang takkan ada hala tuju ni. Macam yang selalu I cakap, I tak boleh kahwin dengan you selagi you masih bersama Qisya, my family takkan pernah izinkan dan beri restu. You pulak takkan sanggup tinggalkan Qisya untuk I kan?”
Megat Talhah menelan liur. Selagi dia bernafas, memang dia takkan tinggalkan Qisya walau apa yang terjadi sekalipun, dan demi mana-mana perempuan sekalipun. Takkan!
“Macam mana you sayangkan Qisya, family you. I pun sayangkan family I lebih dari segalanya Tal. I takkan sanggup membelakangkan family I semata-mata sebab cinta. You faham kan maksud I?”
Megat Talhah melepaskan keluhan berat sebelum dia mengangguk tanda dia mengerti.
“I memang sayangkan you, Tal tapi I tak sanggup nak teruskan lagi hubungan kita. Kita dah bazirkan dua tahun bersama, I tak nak bazirkan masa kita untuk dua tahun akan datang atau mungkin dua puluh tahun akan datang tanpa mampu teruskan hubungan ni ke arah yang seterusnya.” Melissa merenung tepat ke mata Megat Talhah, meminta pengertian lelaki itu lagi.
“I tak pernah anggap dua tahun I bersama you ni sebagai satu pembaziran, kalau I kena tunggu sampai dua puluh tahun sekalipun itu bukan satu pembaziran bagi I asalkan I bahagia dengan you.”
Melissa menghela nafasnya. Tahu Megat Talhah sanggup saja menunggu tetapi dia yang tidak sanggup lagi terikat dalam hubungan yang sebegitu. Semalaman dia berfikir tentang kata-kata Julia yang ada benarnya. Buat apa dia teruskan lagi kalau hubungan itu tidak direstui keluarganya? Dia takkan boleh berkahwin dengan Megat Talhah selagi lelaki itu masih menjaga Qisya dan dia yakin lelaki itu akan menjaga Qisya sepanjang hayatnya. Sanggupkah dia setia dengan Megat Talhah sampai jadi andartu malah yang lebih teruk, tidak kahwin-kahwin semata-mata kerana cinta? Sungguh dia tak sanggup!
Melissa memandang Megat Talhah lama, dengan matanya yang sayu. Pipinya yang basah, diseka dengan belakang tangan.
“Maafkan I, Tal tapi keputusan I dah muktamad. I tak mampu teruskan lagi hubungan kita ni. I nak you teruskan hidup you tanpa I, kahwin dengan orang yang boleh terima you dan Qisya sekaligus. Dan maaf, orang tu memang bukan I.” Melissa menamatkan kata-katanya sebelum bingkas bangun dan beredar dari meja itu.
“Melissa, tunggu!” Megat Talhah cuba menahan Melissa tetapi gadis itu lebih laju melangkah tanpa memandang ke arah Megat Talhah lagi.
Megat Talhah menggosok kepalanya yang terasa serabut. Masih enggan percaya dengan apa yang terjadi tadi. Benarkah Melissa benar-benar tinggalkan dia?
“Hesy!” Megat Talhah mendengus kasar sebelum ikut bangun meninggalkan meja tersebut.

“KAU dah putuskan hubungan dengan Megat Talhah? Really?” Julia masih rasa tidak percaya dengan kata-kata Melissa itu sebaik gadis itu pulang dari bertemu Megat Talhah. Selama ini, puas dia menasihati Melissa untuk menamatkan saja hubungan mereka tetapi tidak berhasil, hari ini keajaiban pula sudah berlaku. Tanpa perlu disuruh, gadis itu sendiri yang nekad memutuskan segalanya.
            “Ya, aku dah fikirkan sedalam-dalamnya dan aku rasa kata-kata kau tu memang betul. Rasa macam hubungan ni takkan bawa aku ke mana. Aku rasa cukuplah kot, dua tahun aku bazirkan untuk bersama dia.”
            “That’s my girl. Kau jangan risau, ramai lagi lelaki dekat luar sana yang sesuai untuk kau yang gorgeous ni.” Julia tersenyum memuji.
            “Aku tak nak fikir pasal lelaki lain buat masa ni, Julia. Tapi memang aku rasa lega lepas dah putuskan hubungan ni. Selama ni aku rasa terbeban dan serabut sangat setiap kali Tal ungkit pasal hal kahwin. Aku memang sayangkan dia tapi aku dah lama sedar yang kami takkan dapat bersama, selagi dia bersama anak buah dia tu. Mungkin sebab tu kot, bila aku putuskan hubungan ni, aku tak rasa kecewa pun. Sedih tu memanglah ada, dua tahun kot aku bercinta dengan dia, tapi aku tak rasa menyesal.”
            “Good for you, Mel. Aku bukan nak jadi jahat tapi kalau kau yakin kau takkan boleh kahwin dengan Tal tu sampai bila-bila, buat apa tunggu lagi kan? Not worth it.”
            Melissa menghela nafasnya. Walau hatinya masih sayang tetapi sekurang-kurangnya dia sudah tidak terbeban dengan perasaan serba salahnya terhadap Megat Talhah lagi. Biarlah lelaki itu mencari gadis yang lebih sesuai yang bisa menerima Qisya sekali di dalam hidupnya dan Melissa tahu orang itu bukanlah dia.

AJDA sedang mengemaskini akaun Instagram The Jida Dessert malam itu, untuk menguar-uarkan perihal produknya bakal dijual di Talqisya saat dia teringatkan perihal siang tadi di butik tersebut. Entah apa agaknya yang terjadi dengan Encik Megat dan kekasihnya itu, bergaduh besarkah? Risau pula hati Ajda seandainya mereka bergaduh kerana dirinya walaupun kenyataannya dia tidak ada kaitan sama sekali dengan Encik Megat.
            Gadis cantik bernama Melissa itu buta agaknya? Sah-sah dia itu biasa saja kalau nak dibandingkan dengan gadis itu, dah macam langit dengan bumi. Mana mungkin Encik Megat mahu pandang dia sekalipun, lagipun kalau Encik Megat nak, dia pun tak sudi terima. Bukan taste dialah lelaki sejuk beku, muka kerek macam tu, bujang terlajak pulak tu. Heh!
Mata Ajda terhenti di akaun Instagram yang tertulis nama Melissa Omar yang memaparkan gambar profil wajah gadis yang dia jumpa siang tadi. Sengaja dia cuba-cuba mencari akaun gadis itu, tak sangka pula boleh terjumpa. Mata Ajda membuntang saat melihat jumlah pengikut gadis itu di laman sosial tersebut yang sudah hampir mencecah dua ratus ribu orang tapi wajah cantik macam tu, model muslimah pula tu wajarlah pengikutnya seramai itu.
Lainlah dia, Ajda Sajidah yang biasa-biasa ni, pengikut akaun Instagram peribadinya cuma ada lebih kurang dua ratus orang, itupun banyak pengikutnya dari peniaga online yang menggunakan teknik sebegitu untuk menarik pengikut baru. Esok lusa dia orang unfollowlah dia kembali, macamlah dia tidak tahu. The Jida Dessert pula baru ada lima ribu pengikut, tapi cukuplah untuk dia mengiklan dan memasarkan produknya serta membuat promosi.
            Ini kalau Melissa cakap aku punca dia dengan Encik Megat bergaduh, confirm aku kena kecam berjemaah dengan pengikut-pengikut Melissa ni seumur hidup! Ajda menelan liur, seram memikirkan hal yang bisa terjadi kalau gadis itu bertindak, tak pasal-pasal The Jida Dessert, perniagaan online dia itu terjejas sebab nama dia dah buruk. Hesy nauzubillahi min zalik.
            Jangan fikir yang bukan-bukan Ajda! Dah sah-sah kau tak ada kaitan dengan Encik Megat, yang kau cuak sangat kenapa? Encik Megat tu pun sah-sah akan nafikan sepenuh hati dia sebab tak nak dikaitkan dengan kau. Apa nak takut?

            Ajda menghela nafasnya yang terasa berat sebelum menutup aplikasi itu di telefon bimbitnya dan mula berbaring di atas katilnya. Malas hendak memikirkan perkara yang entah apa-apa yang dia sepatutnya tak fikirkan pun.

Suka? =)

1 comment:

Dah habis baca tu, rajin-rajinlah tinggalkan komen eh! boleh jugak AK perbaiki penulisan AK. heheeheh. Terima Kasih!

~Kepantasan Menaip~

Typing Test

Visit the Typing Test and try!

Lintas Lansung dari Penulisan2u