~Pembaca Setia~

*~Dari Lubuk Hati Penulis~*

Assalammualaikum semua!

blog ini AK hasilkan untuk mencoret karya-karya yang lahir dari hati AK khas untuk tatapan umum. AK masih bertatih dalam dunia penulisan ini, segala kelemahan AK harap dimaafkan. harap segala karya ini tidak akan ditiru dan diubah hakcipta kerana tolonglah hargai penat lelah dan jerih payah AK dalam menghasilkan karya-karya ini.

Pembaca semua sangat-sangat dialukan untuk memberi sebarang komen dan pandangan yang menbina. Diharap dengan adanya blog ini dapatlah kita berkongsi pendapat seterusnya membantu AK memperbaiki diri dalam arena penulisan ini...dan tolong doakan semoga impian AK untuk membukukan karya dan novel AK akan terlaksana... InsyaAllah... amin...
Terima kasih...

Penuh rasa Cinta,

~Aliesha Kirana~

Saturday, March 25, 2017

Novel Pak Cik Kerek Semanis Pavlova Bab 5


AJDA menolak pintu butik itu dengan berhati-hati sebelum dia menghampiri kaunter. Gadis bernama Ati semalam pantas dia dekati.
            “Eh, Cik Ajda.” Ati menyambut mesra.
            “Kan saya cakap panggil Ajda je.” Ajda tersengih. Ati ikut menarik senyum.
            “Sorry, Ajda. Nak hantar portfolio eh?”
            “Haah. Bos awak ada tak?”
            “Encik Megat belum masuklah. Ajda tinggalkan portfolio tu dekat saya sajalah.” Ati memberikan cadangan membuatkan Ajda pantas mengangguk laju. Lagi bagus, tak payah dia menghadap muka pak cik kerek tu lagi.
            “Boleh. Boleh. Saya tinggalkan dekat sini, nanti bagi dekat Encik Megat ya.”
            “Ok bereh.” Ati menyambut fail portfolio yang dihulur Ajda sebelum di simpan di sebalik kaunter.
            “Macam tu saya balik dululah ya, ada nak pergi tempat lain pulak ni. Apa-apa suruh Encik Megat contact saya ya.”
            “Ok, harap-harap dapat jadi vendor dekat sini ya. Sedap sangat pavlova semalam.”
            “Amin! Terima kasih, Ati.” Ajda bersuara ceria, mengharapkan perkara itu menjadi kenyataan. Memang laku keraslah pavlovanya kalau dapat jadi vendor di sini.
“Sama-sama.”
“Saya balik dululah ya.” Ajda meminta diri seraya membawa langkahnya keluar dari butik itu sambil melambai ke arah Ati.
“Allah!” Bahunya terasa merempuh sesuatu membuatkan Ajda jatuh terduduk di atas lantai butik. Cepat-cepat dia bangun, malu kalau-kalau ada yang ternampak.
“Lain kali, berjalan tu tengok depan.” Suara garau itu menerjah gegendang telinga Ajda bersama dengan nada yang terasa begitu mendatar. Cepat-cepat Ajda mengangkat wajahnya untuk melihat gerangan insan yang bersuara saat itu.
Sah! Telahannya tidak salah. Megat Talhah sedang memegang beg bimbit di sebelah tangannya dan fail serta tabletnya dipeluk rapat ke dada sambil memandang dia dengan wajah yang tidak beriak.
“Errr maaf Encik Megat. Saya tak sengaja.”
“Orang yang cemerkap memang selalu cakap dia tak sengaja.”
Aduh, bisanya kata-kata itu  bagaikan  wajahnya ditampar.
“Saya minta maaf sekali lagi, Encik Megat. Saya dah bagi portfolio saya dekat Ati, kalau ada apa-apa yang perlu saya sediakan lagi, Encik Megat bagitahulah ya. Saya balik dulu.” Ajda cepat-cepat mahu mengatur langkah. Hatinya rasa panas saja hendak berlama di situ, mendengar kata-kata Megat Talhah yang asyik menyakitkan jiwa.
“Tunggu.” suara itu berbunyi kembali saat Ajda baru saja melangkah setapak.
“Ya?” Ajda berpaling kembali sambil mengukir senyuman paling ikhlas yang dia mampu walau hati terasa bengang dengan pak cik kerek itu.
“Ambik portfolio tu bawa masuk pejabat saya. Sekarang. Saya nak semak.” Megat Talhah bersuara sebelum berlalu meninggalkan Ajda terpinga-pinga di situ.
‘Hampeh betul pak cik kerek ni. Dia buat aku macam aku ni staff dia pulak. Aku ni nak jadi vendor dia, penyumbang keuntungan dia. Patutnya layanlah aku ni baik-baik sikit.’ Ajda mengomel dalam hati sebelum berlalu ke kaunter. Ati yang mendengar sedari tadi, awal-awal lagi sudah menghulurkan portfolio milik Ajda itu kepadanya semula.
Wajah Ati tampak gusar saat Ajda menyambut portfolio itu dengan keluhan berat sebelum dia berlalu ke bilik Megat Talhah.

AJDA diam memerhati Megat Talhah dengan debaran yang maha dasyat di dalam dadanya. Rasa macam tengah menghadapi penemuduga masa zaman-zaman minta kerja dulu pula. Tangannya terasa beku tetapi peluh merenik di dahi walau pendingin hawa terasa sejuk saja memuput muka.
            Kalaupun pak cik kerek ni tak suka portfolio dia, janganlah dia main campak ke muka dia macam ceo-ceo garang dalam drama tu. Hesy mintak simpanglah!
            “Okay. Awak diterima untuk jadi vendor di sini.”
            “Hah?” Ajda tergamam. Rasa macam dengar tak dengar saja kata-kata Megat Talhah tadi.
            “Saya cakap, awak diterima.” Megat Talhah menutup portfolio itu dan diletakkan ke atas meja sebelum memandang ke wajah Ajda. Kagum sebenarnya dengan ketelitian gadis itu menyediakan portfolio tersebut yang bagi Megat Talhah memang cukup lengkap dan menepati kehendaknya.
“Nanti kami akan sediakan kontrak, jika bersetuju dengan semua syarat maka bolehlah tandatangani kontrak tu nanti. Okay? Ada soalan?” Megat Talhah menyambung sambil menyilang jemarinya di atas meja.
Ajda masih diam, tiada respon.
“Cik Ajda Sajidah!” nada suara Megat Talhah naik seoktaf.
“Hah, ya ya saya.” Ajda seolah kembali ke alam nyata. Baru sebentar tadi dia terawang entah ke mana. Rasa macam tak percaya, pemohonannya untuk menjadi vendor di butik berprestij itu diterima.
“Ada soalan?”
“Errr tak ada.”
“Kalau tak ada, baguslah. Sekarang cik boleh keluar, saya ada mesyuarat yang perlu saya hadiri dekat luar jadi tolong jangan buang masa saya. Nanti kontrak dah siap, kami akan hubungi pihak cik.” Megat Talhah bersuara senafas sambil bangun dan berkemas.
“Baik. Baik. Terima kasih, Encik Megat.”
Megat Talhah sekadar mengangguk perlahan sebelum dia membuka pintu untuk Ajda keluar.
“Terima kasih sekali lagi, Encik Megat.” Sekali lagi Ajda bersuara saat dia keluar dari pintu bilik Megat Talhah itu.
“Ya, ya. Sudah, saya sibuk ni.” Megat Talhah mendengus sebelum menutup pintu bilik pejabatnya itu.
Ajda tersengih sendiri saat berlalu ke kaunter, memberitahu perkhabaran gembira itu kepada Ati yang disambut dengan ucapan tahniah oleh pembantu butik itu sebelum Ajda berlalu keluar dari butik Talqisya.

“ALLAH, kenapa pulak ni? Haih, baru saja dapat berita gembira, kau buat hal pulak ya. Kenapalah dalam banyak-banyak hari, hari ni jugak kau nak buat hal? Bagilah chance dekat aku bergumbira saja hari ni. Hesy! Sebab tu orang kata, jangan gembira sangat, nanti mesti ada benda buruk jadi.” Ajda mengomel sendiri saat dia cuba membuka lock kereta yang tidak boleh terbuka sedari tadi. Beberapa kali dia menekan punat pada kunci keretanya namun hampa, langsung tak ada tindakbalas.
            “Ada apa ni?”
            Ah suara ni lagi! Ajda mengeluh sendiri sebelum berpaling perlahan menghadap Megat Talhah yang baru saja keluar dari butik, hendak ke mesyuarat seperti yang dia katakan tadi gamaknya.
            “Entahlah. Tak boleh unlock kereta.” Ajda bersuara sambil mengetuk-ngetuk punat pada kunci keretanya. Habis bateri ke kunci kereta ni?
            “Oh.” Itu saja perkataan yang keluar dari mulut Megat Talhah sebelum dia berlalu masuk ke dalam sebuah BMW putih yang diparkir bersebelahan Axia berwarna merah milik Ajda.
            “Cis, oh saja dia cakap!” Ajda mendengus geram saat kereta BMW yang dipandu seseorang itu membawa Megat Talhah pergi.
            “Berlagak, tak boleh tolong sikit pun. Kot ye pun nak cepat, mintak la tolong staff dia ke tengokkan kereta aku ni. Tak ada timbang rasa langsung. Baru ada butik macam ni pun dah berlagak sampai kena guna driver. Poyo! Benci! Kau pun satu kereta, kenapa hari ni? Kenapa?!” Ajda melampiaskan kemarahannya sendiri.

“YA along, tak tahulah. Tiba-tiba saja tak boleh unlock kereta.” Ajda bersuara penuh kebimbangan. Mana pernah dia mengalami situasi itu sejak dua tahun memiliki kereta tersebut.
            “Bateri kunci habislah tu, tak pun bateri kereta. Dah cuba bukak pintu secara manual?”
            “Dah, dah cuba start enjin dah pun. Tak boleh.”
            “Macam tu memang bateri keretalah yang habis.”
            “Habis apa Ajda nak buat ni? Along tolonglah!” Ajda merayu macam budak kecil.
            “Along tengah kerja ni. Ajda tunggu je dekat situ takpun balik je dulu naik teksi. Nanti along pergi tengokkan kereta tu masa rehat.”
            “Alah along.”
            “Ajda, benda tak ada apalah. Janganlah buat benda ni macam masalah dunia sangat. Dah pergi balik dulu, nanti along tengokkan. Tinggallah kunci kereta Ajda tu dekat butik Talqisya tu ke tak pun nanti along balik ambik dekat rumah.”
            “Hmmm tak apalah along. Nanti susah along pulak nak kena balik ambik dekat rumah. Nanti Ajda tinggal kunci kereta dekat butik ni jela. Masalahnya sekarang, Ajda nak kena pergi hospital pulak ni. Hantar pavlova dekat mini mart sana.”
            “Nak buat macam mana, Ajda panggil jelah teksi takpun Grabcar ke Uber ke, hantar pavlova tu.”
            “Haih, yelah along. Nanti datang tengokkan kereta ni ya.”
            “Yelah, dah jangan risau. Along letak dulu, assalammualaikum.”
            “Waalaikumussalam.”
            Ajda menyimpan kembali telefon bimbitnya bersama keluhan berat di bibir. Rasa tak sampai hati nak tinggalkan kereta kesayangannya itu dekat situ tapi apakan daya.

            “Cik...” suara seseorang yang menerpa membuatkan Ajda yang baru saja hendak melangkah masuk ke dalam butik Talqisya untuk meninggalkan kuncinya, membatalkan hasratnya dan berpaling memandang ke arah suara itu.

Suka? =)

Goodreads!

Aliesha Kirana's books on Goodreads
Love You Mr. Arrogant Love You Mr. Arrogant
reviews: 4
ratings: 15 (avg rating 3.80)

~Kepantasan Menaip~

Typing Test

Visit the Typing Test and try!

Lintas Lansung dari Penulisan2u